K

Tuesday, March 26, 2013

gempaq ! Awek tipu kahwin

KOTA BHARU - Seorang remaja perempuan berusia 20 tahun mengaku bersalah di mahkamah majistret di sini semalam, atas tuduhan menipu seorang lelaki berusia 30 sehingga memperdayakan mangsa berkahwin dengannya dan menyerahkan wang RM17,000. Tertuduh, Noor Ain Kamaruddin yang berasal dari Tanah Merah membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nik Habri Muhammad selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. Mahkamah bagaimanapun menetapkan 26 April untuk menjatuhkan hukuman. Mengikut pertuduhan pertama, pada bulan Jun 2011, Noor Ain Kamarudin telah berkenalan dengan seorang lelaki bernama Mohd Azwadi Mat Husin dengan menyamar sebagai perempuan lain bernama Nur Shamemey Azmi bagi tujuan memperdayakannya untuk mempercayai kata- katanya. Oleh itu Noor Ain melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali. Manakala pertuduhan kedua pula, Noor Ain telah memperdayakan mangsa yang sama untuk berkahwin dengannya dan secara tidak jujur telah mendorong dia menyerahkan wang sejumlah RM17,000 secara berperingkat ke dalam akaun tertuduh. Oleh yang demikian tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda. Ketika prosiding, tertuduh merayu kepada mahkamah supaya hukuman terhadapnya diringankan. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Salam Yusoff dan jaminan RM5,000 ditawarkan

No comments: